0
Mengapa Orang Bukan Islam Tidak Berhak Menggunakan Nama Allah

 

Mengapa Orang Bukan Islam Tidak
Berhak Menggunakan Nama Allah:

Tanggapan Terhadap Golongan Yang Membenarkan

Kedudukan Masalah

 

Setelah isu ini dibahas hampir dua tahun masih ramai lagi yang keliru tentang penggunaan nama
Allah oleh orang bukan Islam. Antara sebabnya ialah wujudnya pandangan yang
diberikan oleh beberapa cendekiawan yang digelar ulama’ yang mengatakan bahawa
terdapat dalil dalam al-Qur’an yang membenarkan hal tersebut. Dan tiadanya dalil yang menyokong larangan
penggunaan oleh bukan Islam. Penulis telah berkesempatan untuk mengikuti isu ini dan memberi tanggapan sejak dari awal lagi
dan menghasilkan 3 artikel sebelum ini yang boleh dicapai dalam khairaummah.com.
Dalam makalah terakhir ini penulis cuba menjawab keraguan-keraguan yang
ditimbulkan dan memberikan hujah-hujah yang muktamad agar kecelaruan tidak
berterusan dan kepentingan umat Islam dapat dipertahankan. Dengan penjelasan
yang terbaik yang penulis dapat paparkan ini mudah-mudahan terbuka hati dan bertambah
yakin orang-orang yang inginkan kebenaran berdasarkan hujjah dan biarkanlah
tertutup hati orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran walaupun datang
dengan hujjah.

Sebelum pergi
jauh perlu difahami terlebih dahulu maksud persoalan di atas. Ia bukan
persoalan tentang siapakah Tuhan orang bukan Islam, kerana jelas bagi kita
Tuhan bagi semua umat manusia hanya satu iaitu Allah. Ia juga bukan berkaitan dengan orang Arab bukan
Islam di negara-negara Arab kerana persoalan ini muncul dalam konteks Malaysia,
dan hanya relevan dengan negara-negara bukan Arab. Maka
maksud persoalan di atas adalah merujuk kepada orang bukan Islam di Malaysia
bukan di negara-negara Arab. Perbezaan konteks ini sangat penting kerana ia
juga bermakna perbezaan bahasa yang digunakan oleh bangsa yang berlainan. Orang
bukan Islam di Malaysia tentunya bukan orang Arab. Dari sini sahaja dapat
disimpulkan bahawa penggunaan nama Allah bagi orang bukan Islam di Malaysia
tidak relevan kerana mereka tidak pernah menggunakannya bahkan tidak mengerti
pun maksudnya. Orang bukan Islam di Malaysia tidak mengenal bahasa Arab, maka
perkataan Allah adalah perkataan yang asing dalam kehidupan mereka.

Perlu juga
ditegaskan dengan kalimat ‘menggunakan’ di atas yang dimaksudkan adalah
menamakan atau menggunakan nama Tuhan orang Islam bagi merujuk Tuhan mereka. Di
sini dapat disimpulkan faham pluralisme agama yang terkandung dalam usaha
ini.  Daripada perkataan ’menggunakan’ di atas maka tidak
timbul isu sekadar penyebutan nama Allah oleh bukan Islam dengan maksud merujuk
kepada Allah sebenar. Tidak sepatutnya timbul
pernyataan apa salahnya orang bukan Islam menyebut nama Allah kalau yang
dimaksudkan itu benar. Mereka boleh sahaja menyebut, membaca, nama Allah yang
menjadi persoalan di sini adalah penggunaan istilah yang sama / pemberian nama
yang sama bagi Tuhan yang berlainan.

Jika persoalan
telah jelas difahami dengan betul maka jawaban terhadap persoalan juga
diharapkan akan lebih terfokus. Untuk memudahkan lagi orang awam boleh juga
dipertanyakan dalam bentuk yang sedikit berbeza iaitu bolehkan orang bukan
Islam menamakan Tuhan mereka Allah?

Terdapat
kecenderungan di kalangan umat Islam, tidak terkecuali ulama’nya, untuk
menyederhanakan persoalan rumit dan besar ini. Bagi sesetengah orang ini
hanyalah persoalan perebutan nama. Atau ia hanyalah berkaitan dengan sebutan,
luaran yang tidak perlu dihubungkaitkan dengan persoalan Akidah dan keyakinan
umat Islam. Menurut prof. Wan Mohd Nor walaupun kelihatan masalah nama dan
bahasa ini sederhana tetapi melalui bahasalah pandangan alam (worldview)
terbentuk. Perubahan pada bahasa dengan merubah maknanya akan memberi kesan
yang besar kepada perubahan pandangan alam dan seterusnya keyakinan dan amal
ibadah orang Islam.

Tentang Orang
Arab Bukan Islam Yang Menggunakan Nama Allah

Untuk menjawab
persoalan ini pertama sekali perlu dijelaskan bahawa konteks masyarakat Melayu
dengan masyarakat Arab berbeza. Perkataan Allah adalah perkataan Arab yang
telah wujud sebelum kedatangan Islam oleh nabi Muhammad saw. Orang bukan Islam
yang datang ke negeri Arab, baik Yahudi mahupun Nasrani, telah menggunakan
kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka selama lebih 1400 tahun yang
lalu kerana bahasa Arablah bahasa yang mereka gunakan. Jika orang bukan Islam
dalam masyarakat Arab hari ini masih menggunakan nama Allah maka hal ini wajar
dalam konteks tersebut, kerana mereka tidak mengalami Islamisasi dan sehingga
ke hari ini masih mengguanakan bahasa Arab. Dalam konteks Malaysia yang
bahasanya bukan bahasa Arab, dan orang bukan Islam yang bukan orang Arab, maka
penggunaan nama Allah oleh mereka adalah sesuatu yang janggal. Sesuatu yang
dipaksakan, yang sengaja ditimbulkan untuk tujuan-tujuan yang tidak baik. Oleh
itu jika di negara-negara Arab hal ini dibenarkan, melihat kepada fakta
sejarahnya, ia tidak boleh dijadikan ukuran untuk membenarkan hal yang serupa
berlaku di Malaysia dan di negara-negara bukan Arab.

Sesetengah orang
Islam yang keliru dalam menanggapi isu ini berhujah bahawa dalam al-Qur’an ada
disebutkan bahawa orang Yahudi mendakwa ‘Uzair itu anak Allah’, dan orang
Nasrani mendakwa bahawa ‘al-Masih itu anak Allah’ (lihat surah al-Tawbah:
30). Sebenarnya jika diperhatikan dengan teliti dan dengan mengambil kira
perbezaan bahasa, yang mereka katakan sebenarnya tidaklah betul-betul sama
seperti itu, kerana dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Ibrani, perkataan yang
mereka gunakan sebenarnya adalah Uzair itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), dan
al-Masih itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), tidak ada perkataan Allah dalam
bahasa mereka.  Al-Qur’an sebenarnya
menterjemahkan kata-kata mereka yang tentunya bukan dalam bahasa Arab tetapi
dalam bahasa mereka sendiri, iaitu Ibrani, untuk difahami oleh orang Arab  atau orang Islam. Oleh kerananya perkataan
yang digunakan adalah Allah kerana Allah dari segi bahasa adalah Tuhan. Penggunaan dalil seperti ini  oleh golongan ini  menunjukkan sikap yang sembrono dan kurangnya
kehati-hatian.

Sememangnya
Allah adalah Tuhan semua nabi dan rasul. Tetapi Allah bukanlah Tuhan yang
disembah oleh orang Yahudi dan Nasrani. Dengan penyelewengan yang berlaku dalam
agama tersebut mereka tidak lagi beriman kepada Allah. Jadi mereka tidak boleh
mendakwa diri mereka beriman kepada Allah. Maka dari itu sesuatu yang
melambangkan ketidakcerdasan dan kenaifan apabila ada sesetengah orang
berkomentar dalam isu ini “al-hamudillah, akhirnya orang bukan Islam percaya
Allah itu Tuhan mereka”. Di
sinilah pentingnya kita memahami iman, Islam dan Din dengan mendalam. Sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, iman dan Islam tidak hanya
cukup dengan dakwaan percaya kepada Allah tetapi mestilah tunduk dan patuh
dengan sebenar-benarnya (real submission and true obedience) kepada
perintah dan suruhan Allah dengan mengikuti Rasulullah saw (al-Attas, Prolegomena:
54-56).

Untuk memahami
dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah,  perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam
al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk
kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada
penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada
kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan
kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam.
Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang
telah dibentuk akidah mereka. Penggunaan yang khusus lebih banyak daripada
penggunaan yang umum, ini selaras dengan banyaknya ayat-ayat yang turun merujuk
kepada tahap intensif Islamisasi. Tahap Islamisasi yang intensif sebenarnya berlaku
di Makkah lagi apabila konsep-konsep mendasar dan penting dijelaskan dengan
panjang lebar. Dalam konteks inilah ayat-ayat seperti dalam surah al-Ikhlas,
al-Kafirun, ayat Kursi dll. diturunkan agar konsepsi yang jelas tentang
Tuhan dapat difahami dan dihayati oleh kaum Muslimin.

Umat Islam yang
telah mengalami proses Islamisasi, baik di Arab mahupun di alam Melayu,
mempunyai konsepsi yang jelas tentang Allah. Konsepsi yang jelas ini adalah
kesan proses Islamisasi selama lebih 1400 tahun di Arab dan lebih kurang 1000
tahun di alam Melayu. Islamisasi berlaku apabila nama-nama atau istilah-istilah
yang telah wujud sebelum Islam diberikan makna baru. Proses Islamisasi ini
telah menjadi garis pemisah antara Islam dengan kufur. Dalam konteks nama Allah
ini Islamisasi telah memisahkan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain. Walaupun ia
adalah sebuah nama bagi Tuhan, tetapi ia bukan sembarangan nama kerana maknanya
sarat dengan perbezaan teologi yang mendasar dengan nama-nama tuhan yang lain. Adalah
sesuatu yang malang jika umat Islam membenarkan orang bukan Islam, sedangkan ia
berkuasa untuk melarangnya, konsepsi tentang Allah ini menjadi dangkal kembali.
Jika ini berlaku bermakna umat Islam hari ini telah membenarkan berlakunya
deislamisasi. Suatu langkah mundur 1000 tahun ke belakang. Kalimah la ilaha
illa Allah
yang bermaksud tiada tuhan melainkan Allah, dengan pendangkalan
makna di atas maka kalimat tauhid ini akan bermaksud tiada tuhan melainkan
Tuhan, walaupun bukan ini yang dikehendaki dalam Islam dan oleh para ulama’nya
tetapi inilah maksud yang sah pada mata umum. Dengan demikian kalimah Tawhid
yang seharusnya mempunyai kesan dan implikasi yang besar dalam kehidupan
seorang Muslim akan menjadi redundan, wujud percanggahan (incoherence) dan tidak memberi makna yang signifikan.

Masyarakat
Jahiliyyah yang Menyebut Allah.

Golongan literal
dan tekstualistik ini juga menyandarkan hujah mereka kepada ayat al-Qur’an Surah
al-Zumar: 38 yang bermaksud “Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau
(Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah Yang
mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab:
“Allah”
.”

Memang pada
zahirnya ayat tersebut menyatakan bahawa orang Quraish jahiliyyah pada
hakikatnya percaya bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Namun sebagaimana
disebutkan di atas yang dimaksudkan dengan kalimah Allah di atas bukan kata
khusus tetapi kata umum. Faktanya, kalimah Allah telah digunakan oleh
masyarakat Jahiliyyah sejak sebelum Islam, maka tidak mungkin al-Qur’an
menggunakan perkataan lain bagi merujuk kepada Tuhan. Jadi ketika ia
menceritakan apa yang dipercayai oleh orang bukan Islam maka al-Qur’an
mengatakan bahawa mereka percaya akan wujudnya Tuhan, bahawa Tuhan lah yang
menciptakan segalanya. Ini kerana secara alamiahnya konsep Tuhan telah ada
dalam diri manusia sejak mereka dilahirkan di dunia. Tawhid datang melalui para
Rasul untuk mengajarkan umat manusia siapa Tuhan itu sebenarnya. Dengan risalah
Tawhid ini manusia dibebaskan daripada kepercayaan politeisme, dinamisme dan
animisme. Kedatangan nabi Muhammad saw walaupun sebagai kesinambungan dari
nabi-nabi sebelumnya tetapi juga untuk meluruskan penyimpangan akidah dalam
agama Yahudi dan Nasrani.  Jadi
penggunaan nama Allah oleh masyarakat Jahiliyyah adalah penggunaan yang umum
yang hanya bermaksud Tuhan kerana demikianlah erti Allah dari segi bahasa.
Tetapi setelah kedatangan Islam penggunaan umum ini tidak relevan bagi
masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam yang bukan Arab pada hari ini. Maka
ayat di atas sebenarnya tidak sama sekali membenarkan orang bukan Islam di
negara ini menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka. Kerana Arab jahiliyyah
telah memiliki kalimah Allah ini sebelum Islam datang sedangkan orang bukan
Islam di negara ini, dan di negara selain Arab, tidak mengenal kalimah ini.  Kesimpulannya adalah satu pembohongan apabila ada yang mengatakan bahawa
terdapat dalil yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah.

Bahaya Pendekatan Literal dan Tekstualistik

Terdapat kekeliruan yang besar apabila sebahagian ilmuwan dan orang awam
cenderung mempertanyakan dalil atau nas bagi setiap persoalan yang timbul. Kelompok literal dan rigid ini ketika melihat ada sebahagian
ayat al-Qur’an yang secara literalnya seolah-olah membenarkan penggunaan nama
Allah oleh bukan Islam maka secara terburu-buru tanpa meneliti dengan mendalam
maksud ayat-ayat tersebut dan perbezaan konteksnya lalu terus mengambil
kesimpulan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah.

Perlu dijelaskan
bahawa tidak semua persoalan perlu ditanyakan apakah dalilnya, jika ada nas
maka barulah sesuatu dapat diperkatakan jika tidak maka ia hanyalah pandangan
yang relatif, boleh ditolak atau diterima. Hakikatnya selain nas, ada ilmu yang
diwariskan oleh para ulama. Inilah yang dimaksudkan bahawa ulama itu pewaris
nabi. Bahawa mereka itu mewariskan ilmu yang diperolehi oleh nabi (hadith).
Kelebihan ilmu ini jugalah yang membezan si jahil dengan orang alim. Orang
jahil boleh sahaja berhujah dengan ayat dan hadith tetapi dia tidak tahu pasti
bagaimana ayat dan hadith itu difahami dan digunakan.

Kita tahu bahawa
ayat-ayat al-Qur’an terhad dan permasalahan yang timbul sentiasa bertambah.
Seorang mujtahid, ulama atau pemikir, perlu dapat memberikan jawapan bagi
setiap persoalan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang terhad itu. Di
sinilah letaknya kedinamikan Shari’ah, sehingga ia sesuai diterapkan sepanjang
masa. Mereka harus dapat merumuskan prinsip-prinsip baik tersurat mahupun
tersirat daripada al-Qur’an dan Sunnah. Berdasarkan prinsip-prinsip inilah
mereka cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul. Oleh itu
kemampuan yang perlu ada pada seorang mujtahid bukanlah mengeluarkan ayat-ayat
atau hadith dalam menanggapi sesuatu persoalan tetapi kebijaksanaan yang terbit
dari kefahamannya yang mendalam terhadap al-Qur’an dan Sunnah serta karya-karya
ulama terdahulu (al-Turath).

Malangnya hari
ini yang berpandukan kepada kewujudan dalil bukan hanya orang awam tetapi
mereka yang mendabik diri mereka ulama. Mereka mencari dalil, walhal ini adalah persoalan baru yang memerlukan
pemikiran yang mendalam. Sepatutnya yang ditanyakan bukan apakah dalilnya
tetapi apakah hujahnya? Ketika suatu persoalan itu tidak ada dalil yang qat’i
mengenainya tidak bermakna kita tidak memiliki hak untuk memberikan kata putus
dalam hal tersebut. Oleh kerana itu dalam persoalan
nama Allah ini ulama fiqh bukan pakarnya. Mereka terbiasa dengan pencarian
dalil dalam mengistinbatkan hukum. Ini persoalan usuluddin atau ilmu tawhid. Seseorang yang ingin membahas isu ini perlu
menguasai teologi, ilmu kalam, epistemologi Islam, falsafah Islam dan metafizik
Islam. Persoalannya bukan apakah hukumnya halal atau haram tetapi lebih penting
dari itu apakah kesannya terhadap akidah seorang Muslim? Walaupun sepatutnya
mujtahid menguasai kedua bidang ini, Shari’ah dan Usuluddin dengan baik, namun
realitinya pada hari ini jarang hal itu berlaku.

 

Kepentingan
Ilmu Kebijaksanaan

Menyedari
kerumitan masalah ini dan skopnya yang melampaui hukum-hakam, maka ilmuwan Fiqh
bukanlah orang yang patut menjadi rujukan dalam persoalan ini. Kecenderungan
hari ini menampakkan bahawa ulama fiqh dapat menjawab segala persoalan. Ataupun
semua persoalan adalah persoalan fiqh. Hakikatnya tidak semua persoalan dapat dikategorikan sebagai hukum hakam
dan bukan semua persoalan dapat dipecahkan dengan kaedah fiqh. Persoalan nama
Allah ini menunjukkan bahawa ada perkara-perkara yang memerlukan kepada
kekuatan hujah yang memerlukan perenungan, kefahaman yang mendalam dan
kebijaksanaan yang tinggi dan bukan hanya pencarian dalil dan pemahaman yang
literal.

Tampak jelas bahawa terdapat kecenderungan yang meluas ketika ini sikap
literal dan tekstualistik dalam memahami Islam. Golongan ini kononnya mengikuti
hanya al-Qur’an dan al-Sunnah dan tidak merasa perlu untuk mengikuti pandangan
para ulama. Golongan pseudo-salafi ini mengatakan jika tiada nas atau dalil
maka apapun yang diutarakan hanyalah pandangan yang relatif kerana ia
berdasarkan kepada akal fikiran manusia yang boleh ditolak dan boleh diterima. Sebenarnya
dalam banyak hal kita perlu menggunakan kebijaksanaan kita dan bukan bersikap
literal dan tekstualistik. Tidak semua perkara perlu dikemukakan soalan apakah
ada dalil atau nas tentang hal itu? Jika tiada maka kita tidak berhak
mengatakan ianya tidak boleh. Kalau ada dalil, yang secara zahirnya
membenarkan, tanpa perlu melihat maksud dan konteksnya maka keputusan terus
diambil tanpa berfikir panjang. Tidak wajar ditanyakan contohnya apakah
dalilnya pluralisme agama haram, liberalisme, feminisme dsb? Sikap literal dan
tekstualistik ini menyebabkan sebahagian orang bersikap ekstrim dan rigid
(kaku) contohnya segolongan mengongkong isteri mereka dari keluar rumah, dengan
alasan adanya nas al-Qur’an yang memerintahkan seperti itu. Ada yang
berpandangan bahawa kerana ilmu itu milik Allah, sebagaimana ditegaskan dalam
al-Qur’an, maka cetak rompak dan plagiarisme dibenarkan. Bahkan golongan ekstrimis yang banyak melakukan keganasan juga
menggunakan ayat al-Qur’an yang menyuruh membunuh orang kafir tanpa memahami konteksnya
dan dalam keadaan apa ayat itu berlaku. Semua pendekatan ini sangat bersalahan
dengan suruhan al-Qur’an dan di samping itu akan memberi kesan negatif kepada
kebijaksanaan orang Islam.

Islam memberi tempat yang sewajarnya kepada akal fikiran (human
intelligence
). Yang dimaksudkan di sini bukanlah reason dan
hubungannya denga rasionalisme falsafah yang berkembang di Barat. Mengenai
rasionalisme Barat yang menjadi pegangan golongan liberal dan modenis ini
penulis telah jelaskan dalam buku tersendiri (Lihat Atas Nama Kebenaran:
Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal
, 2006 dan 2009). Adapun
kedudukan dan kepentingan akal dalam Islam telah dijelaskan oleh ulama’-ulama
muktabar. Imam al-Ghazali antara lain mengatakan:

“Akal itu umpama
penglihatan yang selamat dari cacat cela, dan al-Qur’an itu umpama matahari
yang menyinari jagat raya, dengan keduanya seseorang dapat memperolehi hidayah.
Seorang yang mengambil salah satunya tergolong dalam orang-orang yang bodoh,
orang yang menolak akal hanya cukup dengan cahaya al-Qur’an sama kedudukannya
dengan orang yang mendapatkan cahaya matahari tetapi menutup hati, maka
tidaklah berbeza dia dengan orang yang buta. Maka akal dengan Shara’ adalah
cahaya di atas cahaya”. (Al-Iqtisad fi al-I’tiqad: 4).

Kecenderungan golongan pseudo-salafi yang anti akal ini sebenarnya tidak
mempunyai akarnya dalam tradisi Islam. Bahkan Ibn Taymiyyah yang mereka angkat
sebagai imam Salafiyyah tidak mempunyai sikap sedemikian. Ibn Taymiyyah sepakat
dengan al-Ghazali tentang kepentingan akal ini. Ibn Taymiyyah mengatakan:

“Akal itu syarat dalam mencapai ilmu pengetahuan dan kesempurnaan amal
soleh, dengannya akan sempurna ilmu dan amal. Ia seperti kuatnya penglihatan
bagi mata maka ketika bertemu dengan cahaya iman dan al-Qur’an maka umpama
bertemunya cahaya mata dengan cahaya matahari dan api dan jika mencukupi dengan
salah satunya tidak akan dapat seseorang itu memahami segala sesuatu”.  (Majmu’ Fatawa: 3:338).

Bahkan ulama’-ulama usul fiqh sendiri mengiktiraf penggunaan akal apabila
mereka menjadikan qiyas, istislah, istihsan, masalih
mursalah
, dan sadd al-zari’ah sebagai sumber hukum sekunder. Di
sinilah bermulanya perbezaan antara golongan pseudo-salafi dengan Ahl al-Sunnah
wa al-Jamaah di mana golongan pseudo-salafi ini cenderung rigid terhadap
nas dan menolak penggunaan akal dan kebijaksanaan.

Kelompok yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah kemudian
mengenakan syarat kepada orang Islam supaya tidak menyalahgunakan kebenaran
tersebut untuk mengkristenkan orang Islam. Ada juga
yang memberikan panduan bagaimana orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Justeru ini membuktikan adanya kecelaruan
(incoherency) dalam cara berfikir mereka. Pertama
sekali tidak ada alasan orang bukan Islam untuk mendengar nasihat kelompok ini,
kerana mereka sendiri tidak mewakili umat Islam apalagi untuk mempengaruhi
orang bukan Islam.  Kedua sesuatu yang tidak masuk akal melihat
sejarah kristianisasi yang begitu dahsyat di alam Melayu ini mereka akan akur
dengan nasihat orang yang dikatakan ‘ulama’ ini. Orang Kristian telah
memperjuangkan isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mereka amat gembira
apabila keputusan mahkamah tinggi memihak kepada mereka, sebahagiannya
dikeranakan wujudnya perbalahan di kalangan ilmuwan Islam sendiri. Kemenangan ini bagi mereka menunjukkan kebenaran dakwaan mereka
bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka
kebenaran menggunakan nama Allah akan menjadi satu pencapaian besar bagi orang
Kristian. Hakikatnya ia akan memudahkan lagi proses kristianisasi orang-orang
Islam. Kristianisasi ini walaupun tidak dibenarkan dari segi undang-undang
tetapi telah berjaya memurtadkan ramai golongan remaja di negara ini.

Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang, rendah kerana hal ini tetapi umat
Islam akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan
semakin menipis. Kekeliruan akan semakin merajalela. Kerana dari bahasa
pandangan alam akan berubah. Deislamisasi banyak berlaku melalui proses
pendangkalan makna. Pendangkalan seperti Islam hanya kepada berserah diri, iman
hanya menjadi percaya kepada Allah. Oleh kerananya ramai orang bukan Islam
mengaku diri mereka muslim dan mukmin (dengan m kecil), kerana mereka juga
berserah diri dan percaya kepada Allah, yang kini cuba didangkalkan maknanya
hanya bermaksud Tuhan.

Kecelaruan dalam masalah ini timbul kerana ulama’ fiqh yang tidak
berautoriti terburu-buru memberikan pandangan mereka berdasarkan pengetahuan
dan kemahiran mereka yang terbatas itu. Seharusnya mereka dapat menahan diri
mereka dari memperkatakan sesuatu yang mereka tidak pasti, dan mengakui
keterbatasan ilmu yang mereka miliki. Pandangan yang sembrono ini dapat
merugikan umat Islam dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan. Mereka juga
sepatutnya menghormati pandangan ilmuwan yang lebih berautoriti, dan berwibawa
dalam bidang yang lebih relevan iaitu ilmu usuluddin, atau ilmu tawhid. Tidak
seperti zaman dahulu, pengkhususan yang menjadi ciri pendidikan hari ini
menyebabkan ulama fiqh tidak menguasai dengan baik ilmu usuluddin, begitu juga
sebaliknya. Kerana itu penting untuk setiap ilmuwan memahami keterbatasan
bidang masing-masing dan menyerahkannya kepada orang yang lebih layak untuk
dirujuk. Inilah yang disebut sebagai adab, yang bukan sahaja perlu ada pada
penuntut ilmu tetapi juga pada para ilmuwan kepada ilmuwan yang lebih tinggi
derajatnya. Jelas bagi saya bahawa kecelaruan dalam masalah ini menunjukkan
semakin parahnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam tidak
terkecuali golongan cendekiawannya.

Perlu juga
ditegaskan penekanan kepada adab di sini bukan untuk menghalang ijtihad di
kalangan ilmuwan tetapi menegaskan peri pentingnya meletakkan sesuatu pada
tempatnya. Seseorang ilmuwan
yang memberikan pandangan dalam hal yang bukan kepakarannya tidak sama sekali
dapat disebut sebagai ijtihad.  Pandangan
yang diberikan oleh ulama seperti ini sebenarnya bukan ijtihad. Pandangan
seseorang ulama dikatakan ijtihad jika ia memiliki ilmu yang mencukupi dalam
bidang tertentu dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memahami sesuatu
persoalan sampai ke dalam dalamnya, barulah apabila dua syarat ini dipenuhi
maka ia dikatakan ijtihad, jika tidak ia hanya boleh dianggap pandangan seperti
pandangan orang awam. Hanya ijtihad sahaja yang jika salah sekalipun mendapat
satu pahala, sedangkan pandangan yang mengelirukan boleh mendapat dosa
khususnya apabila pandangan itu diberikan tanpa hati-hati, tanggungjawab moral
dan ketaqwaan.

Penutup

 

Telah banyak
pandangan ulama besar dikemukakan. Al-Attas sejak tahun 80an, Wan Mohd Nor yang
banyak dikutip oleh penulis, dan baru-baru ini Siddiq Fadzil dan Haron Din
telah menjelaskan isu ini. Sepatutnya kewibawaan tokoh-tokoh ini sudah cukup
untuk menjadi ukuran dalam memahami persoalan ini dan bukan populariti
sesetengah orang yang dikatakan ulama’ itu. Isu ini adalah isu Akidah dan
kedaulatan Islam. Ia lebih besar daripada isu politik. Perbezaan ideologi
politik tidak harus membutakan hati nurani kita daripada mengenali kebenaran.

 

Isu penggunaan
nama Allah oleh bukan Islam bagi saya melambangkan betapa seriusnya
fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam, tidak terkecuali golongan
intelektualnya. Adab di sini bukan hanya suatu sikap
yang perlu ada bagi penuntut ilmu kepada gurunya, atau dari orang bawahan
kepada orang atasan, tetapi yang paling mendasar adalah memahami dengan baik
dan meletakkan sesuatu termasuk diri sendiri dan orang lain pada tempat yang
yang wajar dan tepat. Agar yang tidak tahu
menyedari ketidaktahuannya lalu mahu tahu dengan merujuk orang yang
betul-betul tahu. Kita lihat bagaimana isu ini diperbincangkan tanpa
merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan yang berautoriti/ berwibawa dalam bidangnya. Ilmuwan-ilmuwan
kecil yang cuba ber’ijtihad’ tanpa menyedari keterbatasan ilmu yang
dimilikinya. Terdapat ilmuwan yang mencampur adukkan politik dengan urusan
agama sehingga kecenderungan politiknya mempengaruhi pandangannya dalam hal
ini. Memang tidak mudah menahan diri dari mendapatkan political mileage
apabila kemenangan pilihanraya banyak ditentukan oleh undi bukan orang Islam.
Kerana itu ulama’-ulama’ muktabar tidak mahu terlibat dalam politik dan
kepartian. Ramai juga yang cuba memperkatakan sesuatu dengan merujuk kepada
sumber-sumber  yang tidak jelas (seperti
google, wikipedia dll), dan pengalaman bangsa asing, lalu mendakwa diri mereka
tahu sesuatu dan menunjukkan diri mereka faham agama dan menghukum ulama’ yang
berhati-hati sebagai kolot, tidak toleran dsb. Ada juga segolongan ilmuwan
yang menangkuk di air keruh, ilmuwan palsu yang diangkat kerana rapat dengan
penguasa, yang tidak dapat mempertahankan kebenaran ketika ia diserang dari
pelbagai penjuru tetapi mendapat pujian dan pengiktirafan atas sesuatu yang
bukan hasil titik peluhnya. Jika kita umat Islam sendiri tidak jujur
kepada Allah dan diri sendiri, mengapa mengharapkan pertolongan Allah dan
ingin musuh-musuh Islam bersikap adil kepada umat Islam.

 

Setelah umat Islam bingung, keliru dan
hilang pedoman maka dengan mudah faham-faham asing seperti sekularisme,
liberalisme, pragmatisme, sinkretisme, pluralisme agama, neo-sofisme,
saintisme, dll memasuki relung fikiran dan jiwa umat Islam. Faham-faham ini
apabila telah merasuk diri sebahagian umat Islam akan menyebabkan mereka hilang
keyakinan terhadap kebenaran Islam, skeptis terhadap Islam, merendahkan dan
curiga terhadap para ulama’, bahkan tidak jarang juga yang memilih untuk
menjadi ateis, agnotis atau murtad. Di sinilah tragedi bermula dan semuanya
berpunca daripada kegagalan kita bersikap adil dan beradab terhadap Allah, agama-Nya
dan diri kita sendiri.

 

Rujukan

 

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Islam dalam Sejarah
dan Kebudayaan Melayu
. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972. Dan
syarahan beliau sepanjang penulis berguru di ISTAC.

________. Islam and Secularism, diterbitkan oleh
ABIM pertama kali pada 1978. Kuala
Lumpur: ISTAC, 1993.

________. Prolegomena to the
Metaphysics of Islam: an Exposition of the Fundamental Elements of the
Worldview of Islam.
Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.

Al-Ghazali,
Abu Hamid. al-IqtiÎÉd fi al-I‘tiqÉd. Beirut:
Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1983.

Ibn
Taymiyyah, Ahmad Abd al-Halim. Majmu’ Fatawa Ibn Taymiyyah. Kaherah: Dar
al-Fikr, 1983.

Khalif Muammar. Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis
Terhadap Wacana Islam Liberal
, cetakan ke-2. Bangi: Institut Alam dan
Tamadun Melayu, 2009.

________. “Isu Herald: Ketika Agama Diheret Untuk
Kepentingan Politik” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=236&Itemid=105
(20 Januari 2008)

________. “Isu Nama Allah: Isu Akidah Bukan Perebutan
Nama” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=246&Itemid=170
(14 Mei 2008)

________.
”Why Non Muslim Cannot Use the Word Allah” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=1(2
Mac 2009)

Rahmah
Ghazali, “Haron Speaks for Himself” dalam http://www.malaysiakini.com/news/121161

Siddiq Fadzil. ”Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah:
Suatu Pernyataan Keprihatinan” dalam http://www.wadah.org.my/kenyataan-media/54-info-wadah.html

Wan Mohd Nor Wan Daud. Masyarakat Islam Hadhari: Suatu
Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa
. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2006. Juga perbincangan peribadi dengan beliau yang dilakukan hampir
setiap hari.

Got something to say? Go for it!